Saturday, 7 December 2013

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit- sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

     Orang Melayu amat masyhur dengan pepatah-pepatah Melayu atau lebih dikenali sebagai peribahasa oleh masyarakat kini sejak dahulu kala lagi. Pelbagai pepatah tersebut direka mengikut keadaan sekeliling bagi menunjukkan sindiran dan nasihat secara spontan kepada seseorang. Di samping itu, penggunaan peribahasa untuk sindiran tidak akan menyakitkan hati orang tersebut, sebaliknya menyedarkan mereka kerana penggunaan bahasanya begitu lembut dan klasik. Seperti itulah bagi melahirkan semangat dan dorongan dalam kehidupan sesama ahli masyarakat, orang-orang Melayu suatu ketika dahulu telah mencipta pepatah "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".Pepatah mengingatkan kita, untuk sampai ke tebing, kita perlu terlebih dahulu berenang dengan bersungguh-sunggguh melawan arus menghala ke tepian. Jika tidak dilakukan demikian, mustahil kita dapat sampai ke destinasi yang ditujui. Begitu juga halnya, pepatah inin menerangkan bahawa sekiranya kita menginginkan kesenangan pada kemudian hari, kita terpaksa mengharungi segala kesusahan sebelum menikmati kesenangan dan kebahagian. Hakikatnya, itulah hukum alam yang menjadi batu loncatan untuk manusia merealisasikan impian masing-masing. Persoalannya, apakah faedah yang akan diperoleh jika pepatah ini dipraktikkan dalam kehidupan ini? 

    Sebagaimana yang kita maklumi, untuk mendapatkan sesuatu kemenangan atau kejayaan, semestinya didahulukan dengan usaha. Dalam konteks ini kata-kata Mahatma Gandhi, seorang insan yang mulia perlu kita hayati, "Kepuasan terletak pada usaha, bukan pada hasil. Berusaha dengan keras merupakan kemenangan yang hakiki". Jadi pepatah ini dapat menjadi perangsang kepada kita dalam usaha mengejar sesuatu kejayaan. Setiap pelajar pasti mengimpikan kejayaan dalam kehidupan mereka. Namun demikian, bukan semuanya yang akan mencapai cita-cita tersebut. Hal ini demikian kerana kejayaan tidak akan datang dengan mudah bak kata pepatah " yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang" lantaran perlu didahului dengan daya usaha yang gigih tanpa mengenal erti penat lelah dan jemu. Yang paling nyata ialah individu yang memberi komitmen seratus peratus untuk impiannya pasti akan pulang dengan hasilnya. Pendek kata, jika seseorang mengamalkan pepatah ini dalam hidupnya, nescaya individu itu akan berusaha secara berketiak ular tanpa mengibarkan bendera putih kerana pepatah ini akan sentiasa merangsangkannya. 

     Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, pepatah ini turut menyeru kita supaya merancang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan. Abraham Lincoln pernah berkata, "Seandainya saya mempunyai waktu sebanyak lapan jam untuk menebang pokok, saya akan habiskan enam jam untuk mengasah kapak saya".Hal ini menunjukkan kepentingan perancangan dalam hidup kita. Bagi manusia, mereka haruslah memiliki perancangan hidup sendiri bagi menjalani kehidupan yang lebih sempurna. Malah, kejayaan tidak akan menjadi realiti jika sikap sedia berkorban tidak tertanam dalam diri masing-masing. Namun pepatah ini bukan hanya ditujukan kepada individu sahaja tetapi meliputi negara pada keseluruhannya. Hal ini disebabkan pembangunan dan kemajuan negara yang " bagai cendawan tumbuh selepas hujan" tidak akan dapat dicapai tanpa perancangan yang sistematik dan teliti. Biar kita ambil contoh, sebelum setiap tahun bermula pihak kerajaan akan membuat bajet sebagai perancangan awal perbelanjaan negara. Tindakan ini bertujuan untuk mengelakkan masalah kewangan yang mungkin timbul pada kemudian hari. Selain itu, pembinaan Pusat Pentadbiran Purtajaya, Menara Berkembar Petronas, Koridor Multimedia dan sebagainya dimulakan dengan susah payah dan perancangan yang amat spesifik dan teliti. Dalam hal ini, sikap merancang dan berwawasan futuristik pemimpinlah yang menjadi nadi pembangunan negara kita.

     Umum mengetahui bahawa matlamat di sebalik peribahasa ini adalah sebagai panduan hidup untuk semua umat manusia. Hal ini disebabkan kesenangan tidak akan dapat dicapai tanpa usaha yang gigih dan beristiqamah seperti kata bidalan "malas berdayung, perahu hanyut". Sesungguhnya, tiada jalan pintas ke arah kecemerlangan dalam hidup kita yang belum mengetahui apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Dato' Dr.Mohd Fadzilah Kamsah pernah berkata, " Belajarlah kamu daripada kesusahan, sesungguhnya kesusahan itu akan mematangkan kamu". Jelaslah bahawa setiap orang yang hidup melalui kesusahan  pasti akan mendapat laba yang lebih berbandingkan orang menjalani kehidupan dalam kesenangan tanpa mengalami apa-apa kesusahan. Melalui kesusahan manusia dapat mengutip pengajaran dan pengalaman yang berguna. Dalam era globalisasi ini, pelbagai kemudahan dan instrumen telah dicipta untuk memudahkan hidup manusia. Sehubungan dengan itu, manusia pada marcapada ini semakin malas berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan oleh mereka. Namun kelebihan ini tidak dapat dijadikan alasan untuk menjadikan komuniti kita tidak mahu berusaha walaupun hanya menggunakan tenaga yang sedikit. Tatkala, manusia mengalami kesusahan, pasti tergerak dalam sanubari mereka yang mengingati peribahasa ini untuk melakukan yang terbaik bagi mengubah takdir mereka supaya hidup mereka lebih cerah.

     Peribahasa ini turut memberi maflum bahawa pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa dihapai sebelum seseorang mengecapi kejayaan yang diidam-idamkan. Individu yang berjaya mengharungi pancaroba hidup itu akan selamat tiba di destinasinya dan yang bakinya akan kehilangan hidup yang amat bernilai ini. Justeru, seseorang yang berharap untuk memperoleh kejayaan tetapi sentiasa berpeluk tubuh tanpa sebarang usaha adalah ibarat bermimpi pada siang hari. Cerita dongeng "Mat Jenin" yang mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin dicapai, menjadi iktibar kepada kita supaya tidak berangan-angan untuk mendapatkan sesuatu kejayaan, sebaliknya kita perlu berusaha ke arah itu. Seperti yang kita sedia maklum, dugaan yang perlu dilalui dalam kehidupan kita ini bukan bukan sahaja dari segi fizikal, malah terdapat juga dari segi mental. Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah anak-anak remaja yang hidup di kota metropolitan perlu memelihara diri mereka daripada terjebak dalam gejala-gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral lantaran Nabi Muhammad pernah bersabda, "Jagalah dirimu baik-baik usahakanlah kemuliaanmu, kerana engkau dipandang manusia bukan kerana rupa tetapi kerana kesempurnaan budi dan adab". Bagi remaja yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan mantap, pasti mereka terhindar daripada perkara-perkara ini.Jadi, hal ini akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan dalam berusaha meraih kejayaan. Rumusannya, dengan mengaplikasikan peribahasa ini, anak watan akan sentiasa berwaspada dalam menghadapi pelbagai onak dan duri dalam kehidupannya walau di mana jua mereka berada.

     Tuntasnya, kejayaan manis menanti sesiapa sahaja yang sanggup mengorbankan kesenangan pada masa ini dan memeras keringat untuk kesenangan pada hari-hari muka kerana"kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapatsagunya". Para pelajar haruslah menghayati peribahasa ini sedalam-dalamnya menuntut ilmu yang bakal menjadi kelebihan kepada diri mereka persis kata-kata hikmat "ilmu pelita hidup" dan "ilmu jambatan hidup". Manusia yang tidak menghadapi kesukaran terlebih dahulu sayugianya tidak merasai kenikmatan hidup sebagai manusia yang hidup dalam dunia yang fana ini. Kerajaan turut bertanggungjawab melakukan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penggunaan peribahasa ini dalam kalangan pelajar dan masyarakat di Malaysia. Kedaluwarsa, para remaja mengubah perspektif mereka bahawa pepatah Melayu ini ketinggalan zaman dan memperbanyak kegunaannya dalam kehidupan harian. Para remaja juga haruslah melatih diri mereka menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat melalui penghayatan pepatah ini. Hal ini demikian kerana "pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara".

No comments:

Post a Comment